Thara
We usually reply within 1 working day (Mon-Fri, 9am-5pm) 😊
Customer Care Team
Hi there
How can i help you today?
Start Whatsapp Chat
Locate your nearest vet with the new Oyen Vet Finder!
Find Vet Now

Bahasa Kucing: Jom Ketahui Bahasa Tubuh Kucing Anda

Expert for this article
This is some text inside of a div block.
Table of content

Bagi pemilik kucing, anda pastinya tidak jemu memerhatikan gelagat comel si kucing ini. Lihat mereka berlari, menggoyangkan ekor dan juga mengiau comel, semuanya menghiburkan hati.

Tahukah anda, di sebalik telatah mereka ini, ia sebenarnya merupakan salah satu cara kucing berkomunikasi dengan kita!

Dalam artikel kali ini, Oyen akan kongsikan tentang bahasa kucing dan ketahui apa yang kucing anda katakan melalui bahasa tubuh badan mereka.

1. Postur atau bentuk badan

Salah satu mudah untuk memahami bahasa tubuh kucing anda ialah postur atau bentuk badan mereka. Dengan memerhatikan postur atau bentuk badan mereka, anda akan dapat mengenalpasti apa sebenarnya yang dikatakan oleh si comel ini.

Membesarkan badan

Jika anda melihat bulu kucing anda kembang dan berdiri tegak serta membesarkan badan, ia menunjukkan mereka sedang berada dalam keadaan marah dan agresif. Mereka membesarkan badan bagi tujuan menakut-nakutkan musuh.

Sewaktu mereka dalam keadaan membesarkan badan ini, mereka juga akan menjingkitkan kaki dan berdiri dalam keadaan sisi. Kedudukan dalam keadaan sisi ini akan memudahkan kucing ini melepaskan diri sekiranya mereka dikejar.

Badan dalam keadaan relaks

Seterusnya, jika kucing anda berada dalam keadaan relaks, dengan keadaan tubuh dan kepalanya menghadap anda, ini menandakan bahawa ia dalam keadaan relaks dan menerima kehadiran anda

Mengecilkan badan

Selain itu, kucing anda juga akan mengecilkan badan dalam keadaan bagi menandakan ia berada dalam keadaan takut. Dalam keadaan takut ini, kucing akan cenderung menyembunyikan badannya atau mencari tempat perlindungan.

2. Kelakuan

Seterusnya, anda juga boleh memerhatikan kelakuan kucing sebagai salah satu cara mereka berkomunikasi. Jom kita lihat beberapa kelakuan kucing yang boleh diperhatikan.

Menggosokkan badannya 

Kucing akan menggosok-gosok badannya sebagai salah satu cara untuk menandakan kawasannya. Jika si comel ini menggosokkan badannya ke arah anda, ia merupakan salah satu cara untuk menunjukkan kasih sayang mereka.

Malah, anda juga boleh memerhatikan kelakuan kucing yang akan menggosokkan badan atau kepala mereka  pada barangan di sekitar rumah anda, termasuklah telefon bimbit anda sendiri! Ia hanya sebagai tanda bahawa, semua barang ini adalah milik mereka.

Menekan-nekan kakinya

Kelakuan kucing menekan-nekan kakinya atau kneading, biasanya dapat diperhatikan pada sesuatu yang lembut seperti selimut, sofa atau riba anda. Terdapat beberapa sebab kucing anda menekan-nekan kakinya seperti berikut.

Kelakuan anak kucing sewaktu menyusu daripada ibunya

Bagi anak kucing, kelakuan ini merupakan kelakuan semulajadi mereka sewaktu menyusu.

Bagi menunjukkan rasa selamat dan selesa

Kucing yang gembira akan menunjukkan rasa selama dan selesa dengan menekan-nekan kaki mereka. Malah, sekiranya kucing menekan-nekan kakinya di atas riba, ia bermakna si comel ini hanya ingin menunjukkan kasih sayang dan selesa bersama anda. 

Menenangkan diri

Bukan itu sahaja, kucing yang berada dalam keadaan tertekan juga akan menekan-nekan kakinya bagi menenangkan dirinya.

Menyiapkan tempat untuk tidur

Selain itu, kelakuan menekan-nekan kaki ini juga merupakan petanda kucing ini menyiapkan tempat untuk tidur. Tidak hairanlah jika melakukan perkara ini di atas selimut atau sofa yang lembut, dan juga di pangkuan anda.

Kelakuan ini dikatakan bermula dari kucing pada masa dahulu yang habitat semulajadinya adalah di hutan. Kucing-kucing akan menekan-nekan gumpalan rumput bagi menyiapkan tempat mereka untuk tidur.

Menanda kawasan 

Sama seperti menggosokkan badan, kucing juga menekan-nekan kakinya bagi menandakan kawasan mereka. Kucing mempunyai kelenjar bau pada tapak kakinya, dengan cara menekan-nekan kaki di sesuatu kawasan seperti tempat tidur, ia menandakan kawasan mereka dengan baunya sebagai peringatan kepada kucing-kucing yang lain.

Bergolek-golek dengan perutnya ke atas

Kucing merupakan sejenis haiwan yang sangat berwaspada, namun sekiranya ia menunjukkan kelakuan seperti ini, ia bermaksud ia sangat mempercayai anda! Dalam keadaan perutnya ke atas, ia sebenarnya merupakan posisi yang mudah terdedah, namun si comel ini mempercayai anda sebagai pemiliknya!

3. Ekor

Jangan tidak percaya, ekor seolah-olah seperti radar bagi bahasa tubuh kucing. Ia boleh menggambarkan rasa gembira, takut malah emosi marah. Jadi, jom kita lihat bagaimana ekor ini boleh mewakili emosi-emosi ini.

Tinggi dan menggerakkan ekornya ke kiri dan ke kanan secara perlahan

Jika ekor kucing anda tinggi dan menggerakkan ekornya ke kiri dan kanan, ia menandakan kucing anda berada dalam keadaan gembira. Malah, ia juga sedang dalam keadaan selesa dan ingin berkawan.

Di bawah dan disembunyikan

Seterusnya, jika ekor kucing anda di bawah dan disembunyikan, ia bermaksud mereka berada dalam keadaan yang takut atau cemas. Jangan lupa untuk menenangkan mereka dan kenalpasti mengapa mereka berada dalam keadaan ini.

Ekor ke atas dan bulu dikembangkan

Awas ya jika kucing anda dalam keadaan ini. Ekor ke atas yang tegak dengan bulu badan yang dikembangkan menandakan kucing anda sedang marah dan boleh bertindak secara agresif. Biasanya, ia menandakan mereka sedang bersedia untuk menyerang musuh yang ada.

Jangan sesekali masuk campur sekiranya kucing anda sudah berada dalam pergaduhan, silap haribulan anda juga mungkin dicakar kucing sendiri!

4. Telinga

Kucing bukan sahaja mempunyai pendengaran yang baik, malah telinga si comel ini juga boleh memberi seribu makna. Berikut merupakan beberapa kedudukan telinga dan maksudnya yang tersendiri:

Telinga ke hadapan

Keadaan telinga seperti ini menunjukkan kucing berada dalam keadaan tenang dan yakin.

Telinga berada dalam keadaan tegak dan ke atas

Dalam keadaan telinga ini, kucing menunjukkan rasa ingin tahu. Ia juga cuba mencari punca bunyi tersebut dengan lebih cepat. Selain itu, keadaan telinga ini juga menandakan mereka bersedia untuk bermain dan teruja.

Telinga ke bawah dan ke sisi

Sekiranya telinga kucing berada dalam keadaan bawah dan sisi, atau juga dikatakan seolah-olah sebagai telinga berbentuk kapal terbang, ia merupakan petanda kucing dalam keadaan takut.

5. Mata 

Pernahkah anda mendengar pepatah kata menyatakan mata merupakan cerminan hati. Seterusnya, mata kucing juga boleh dijadikan sebagai salah satu kucing berkomunikasi dan menyampaikan perasaan mereka. 

Mata yang bulat

Pastinya anda pernah melihat si comel berada dalam keadaan mata yang bulat ini, kan? Mata yang bulat menandakan beberapa situasi. Ia boleh membawa makna ia sedang teruja dan ingin bermain atau sedang bersedia untuk memburu.

Mengedipkan mata

Siapa saja tahan panahan mata si comel ini sewaktu mereka mengedipkan mata! Sangat comel dan ia membawa maksud bahawa menunjukkan kasih sayang atau hanya ingin bermanja.

Bebola mata yang runcing

Dengan bebola mata yang runcing, terdapat beberapa situasi yang mungkin berlaku kepada kucing anda. Biasanya, ia menandakan bahawa ia dalam keadaan berjaga-jaga dan sedang peka.

Malah, sekiranya mata juga turut menjadi runcing dan kucing anda sudah menunjukkan taring, ia bermaksud mereka akan menjadi agresif dan mungkin menyerang sesiapa yang dirasakan musuhnya ketika itu.

6. Misai

Misai kucing walaupun nampak comel, tetapi sebenarnya memberikan fungsi yang penting dalam kehidupan seharian mereka. Ia seperti radar yang membantu kucing mengenalpasti persekitaran mereka. Selain itu, ia juga boleh dijadikan petunjuk tambahan bagi membaca bahasa tubuh kucing ini.

Misai kucing ke bawah dan ke arah muka

Kucing berada dalam keadaan takut. Biasanya, dalam keadaan ini kucing turut mengecilkan badan mereka.

Misai kucing ke hadapan

Sekiranya misai kucing berada ke hadapan, ia menunjukkan kucing berada dalam keadaan yakin dan selesa.

7. Suara

Walaupun tidak mampu berkata-kata seperti manusia, kucing juga mampu mengeluarkan beberapa jenis tona suara bagi mempamerkan perasaannya. Jom kita kenali beberapa tona suara yang biasanya boleh diperhatikan pada si comel ini.

Growl atau menggeram

Kucing biasanya akan menggeram dalam keadaan marah dan bagi menakut-nakutkan musuhnya. Ia menyampaikan mesej supaya musuhnya mengundurkan diri. Malah, kucing juga boleh menggeram terhadap makanan atau mainan bagi menunjukkan bahawa barangan tersebut adalah miliknya.

Bukan itu sahaja, keadaan menggeram ini juga boleh menjadi petanda bahawa kucing anda dalam keadaan menahan sakit. 

Hissing atau mendesis

Jika kucing anda mendesis  terhadap anda, mungkin ada perkara yang membuatkan mereka merasa terancam. Mereka mungkin berasa terancam dengan persekitaran baru seperti berpindah rumah atau kedatangan orang baru.

Selain itu, bunyi mendesis ini biasanya menunjukkan kucing berada dalam keadaan takut, tidak selesa dan tertekan. Oleh itu, cuba kenalpasti punca sebenar mereka berada dalam keadaaan ini bagi menenangkan mereka semula.

Bunyi purr

Tahukah anda, bunyi purr daripada kucing juga mampu menenangkan manusia? Bunyi purr ini biasanya menandakan kucing anda berasa selamat dan selesa. Seterusnya,  bunyi iini akan melepaskan hormon endorphin yang membantu menenangkan diri  sewaktu kucing berada dalam keadaan sakit.

Bahasa tubuh kucing saya menunjukkan bahawa ia dalam keadaan tertekan, apa yang patut saya buat?

  • Cuba kenalpasti punca mereka menjadi tertekan. Tidak kira sama ada persekitaran atau kehadiran orang baru, kucing merupakan haiwan yang sangat sensitif
  • Cuba cari cara untuk menenangkan mereka.

Jika anda sudah buntu mengapa kucing anda berada dalam keadaan tertekan, ia merupakan langkah yang baik untuk mendapatkan khidmat veterinar bagi mengetahui punca sebenar mereka berada dalam keadaan tertekan.

Dengan membuat lawatan secara rutin ke veterinar, sebarang penyakit dirawat dari awal sebelum ia menjejaskan kesihatan kucing anda. Jika anda bercadang untuk mendapatkan pelan kesihatan atau insurans bagi si comel ini sejak dari awal, jom semak kelayakan anda terlebih dahulu di sini.