Bagi pemilik kucing, situasi kucing bergaduh bukan lagi perkara asing. Kucing anda mungkin kerap bergaduh dengan kucing jalanan yang datang ke rumah atau lebih teruk, dengan kucing yang dibela di rumah yang sama juga!
Situasi ini pastinya menjadikan anda serba salah, terutamanya sekiranya ia sudah berada di tahap yang teruk, sehingga kucing luka kerana bergaduh dengan sesama sendiri.
Dalam artikel ini, Oyen akan kongsikan cara elakkan kucing bergaduh dan apa yang anda perlu lakukan sebagai pemilik kucing. Jom kita bermula!
Punca kucing bergaduh
Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Sama seperti masalah, kita harus mencari apakah punca sebenarnya yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Oyen akan kongsikan beberapa punca mengapa kucing boleh bergaduh sesama sendiri mereka.
Takut
Biasanya, apabila kucing berada dalam keadaan yang takut dan terancam, mereka akan membesarkan badan dan mengeluarkan suara yang garang. Apabila berada dalam keadaan yang terlampau takut, atau mereka merasakan pihak lawan mereka cuba menyerang mereka, ia boleh memulakan pergaduhan yang tidak diingini.
Naluri keibuan ibu kucing
Ya, bukan kucing jantan sahaja yang cenderung untuk bergaduh. Kucing betina juga mempunyai sifat semulajadi dan naluri keibuan bagi melindungi anak-anaknya.
Sifat melindungi anak-anak ini bukan sahaja membuatkan mereka menyerang orang asing, malah anda sebagai pemilik juga boleh diserang jika mereka berasa terancam.
Perubahan hormon
Biasanya, apabila kucing jantan yang tidak dimandulkan mencecah umur dua tahun hingga 4 tahun, perubahan hormon yang berlaku di dalam badan mereka akan menyebabkan mereka menjadi agresif sesama mereka.
Keadaan ini biasanya akan kerap berlaku dalam kalangan kucing jantan berbanding dengan kucing betina. Malah, keadaan kucing bergaduh ini akan menjadi semakin teruk dalam kalangan mereka terutamanya pada musim mengawan.
Mempertahankan kawasan
Sekiranya terdapat kucing liar atau jalanan yang cuba menceroboh kawasan rumah, pergaduhan antara kucing mungkin akan berlaku bagi mempertahankan kawasan.
Bukan itu sahaja, kucing di dalam rumah yang sama juga boleh bergaduh sesama sendiri. Sebagai contoh, salah seekor kucing anda mungkin pulang dari klinik veterinar dan membawa pulang bau yang asing dan akhirnya bergaduh sesama sendiri.
Kucing anda cemburu
Nampak comel, tapi benar. Kucing anda boleh menjadi cemburu terutamanya jika anda membawa kucing baru masuk ke dalam rumah. Sekiranya mereka melihat anda memberikan perhatian yang lebih atau kurang perhatian kepada mereka, jangan terkejut jika ‘perang kecil’ mungkin bermula.
Kucing berada dalam keadaan sakit
Akhir sekali, sekiranya tiada punca-punca lain yang menyebabkan mereka agresif, cuba perhatikan kucing anda sekiranya mereka berada dalam keadaan luka atau sakit. Sekiranya mereka berada dalam keadaan sakit, mereka cenderung untuk menjadi agresif dan boleh menyerang tanpa sebab.
Tanda-tanda kucing ingin memulakan pergaduhan
Sebenarnya, anda boleh mengenalpasti tanda-tanda kucing ingin memulakan pergaduhan sesama mereka. Cuba perhatikan beberapa tanda dan bahasa tubuh mereka seperti berikut:
- Mengembangkan bulu dan membesarkan badan
- Ekor dalam keadaan tegak
- Anak mata berada dalam keadaan bulat
- Telinga terlipat ke belakang
- Bunyi mendesis dan menggeram dalam keadaan marah
Dengan peka pada tanda-tanda ini, anda mengambil langkah berjaga-jaga dan pencegahan sebelum mereka mula bergaduh dan akhirnya mencederakan sesama sendiri.
Cara elakkan kucing bergaduh
Jika anda melihat kucing mula bergaduh, jangan sesekali memberanikan diri dan meleraikan pergaduhan tersebut secara fizikal. Anda bukan sahaja berpotensi untuk cedera dengan cakaran dan gigitan, kucing juga boleh hilang kepercayaan terhadap anda sebagai pemilik mereka.
Langkah pencegahan
Bagi mengelakkan berlakunya pegaduhan yang lebih teruk, anda sebenarnya boleh melakukan beberapa langkah pencegahan. Berikut merupakan beberapa langkah yang boleh dilakukan:
1. Mandulkan kucing anda.
Kucing jantan yang belum dimandulkan akan cenderung untuk menjadi lebih agresif dan bergaduh sesama mereka. Kucing betina yang belum dimandulkan pula akan cenderung bergaduh mempertahankan anak kucing mereka.
2. Sediakan tempat persembunyian di sekitar rumah
Bagi mengelakkan kucing anda bergaduh kerana takut atau terancam, berikan mereka ruang untuk bersembunyi dan berasa selamat
3. Sediakan bekalan secukupnya
Jika anda merupakan pemilik beberapa ekor kucing, pastikan bekalan makanan dan minuman disediakan secukupnya. Selain itu, ruang bermain dan mainan juga perlu dipastikan cukup.
4. Rancang perjalanan anda
Bagi kucing yang biasanya bergaduh sekiranya salah seekor daripada mereka pulang daripada kawasan luar. Contohnya, seperti klinik veterinar, rancang lawatan anda ke klinik veterinar dengan membawa mereka pada masa yang sama. Ini akan mengurangkan kemungkinan berlakunya pergaduhan kembali.
5. Pastikan kucing berada di dalam rumah.
Sekiranya kucing anda cenderung untuk bergaduh dengan kucing liar atau kucing jalanan, cara terbaik adalah memastikan mereka sentiasa berada dalam rumah. Hal ini kerana, kucing anda mungkin akan bertindak mengejar kucing jalanan tersebut, lupa jalan pulang dan akhirnya berkemungkinan untuk hilang.
Namun, sekiranya anda ingin memberikan si comel ini ruang untuk bermain di halaman rumah, pastikan pagar rumah sentiasa ditutup atau mempunyai penghadang.
6. Asingkan kucing yang berada dalam keadaan yang sakit
Bagi memudahkan rawatan dan juga penjagaan kucing yang sakit, asingkan kucing ini terlebih dahulu. Ia bukan sahaja akan mengurangkan risiko jangkitan penyakit, kucing yang sakit ini juga akan berasa lebih selesa dan kurang cenderung untuk menjadi agresif serta bergaduh.
Kucing saya sedang bergaduh. Apa yang perlu saya lakukan
Bagaimana sekiranya, anda sudah terlambat. Kucing anda sudah bercakaran dan menyerang lawannya atau bergaduh sesama sendiri. Apa yang perlu anda lakukan
- Jangan sesekali memukul atau mengejar kucing anda. Ia akan membuatkan mereka berasa lebih takut dan hilang kepercayaan terhadap anda
- Sembur dengan air atau gunakan bunyi bising untuk menghentikan pergaduhan
- Jangan marah atau memujuk kucing anda. Berikan mereka ruang untuk bertenang selepas berlakunya pergaduhan
Kucing serumah bergaduh. Apa yang patut saya lakukan?
Jika selama ini kucing-kucing ini tinggal di rumah yang sama dengan tenang dan gembira, dan tiba-tiba bergaduh sesama mereka, pastinya ini membuatkan anda buntu.
Oyen kongsikan beberapa langkah yang boleh digunakan bagi situasi ini.
Situasi 1: Kucing serumah bergaduh pada tahap ringan
- Asingkan kucing ini selama beberapa hari atau minggu di dalam bilik yang berbeza. Bekas makanan dan juga pasir kucing perlu diasingkan.
- Dengan cara ini, kucing akan mendengar dapat menghidu bau masing-masing, namun tidak perlu berhadapan dan berinteraksi
- Jika boleh, letakkan bekas makanan mereka di belakang pintu yang bertentangan dengan pintu bilik di mana mereka diasingkan. Ini membantu mereka biasa dengan bau antara satu sama lain ketika melakukan sesuatu yang menyenangkan seperti makan
- Setiap hari, tukar bilik mereka antara satu sama lain. Ini bagi membiasakan mereka dengan bau masing-masing. Anda mungkin memerlukan bantuan daripada orang lain bagi melancarkan proses ini.
- Sekiranya pada langkah ini, mereka masih berada dalam keadaan relaks, cuba buka pintu mereka sedikit demi sedikit setiap hari. Jika mereka masih berada dalam keadaan tenang, ia merupakan petanda yang baik. Namun, sekiranya mereka menunjukkan tanda agresif, asingkan mereka semula.
Situasi 2: Kucing serumah bergaduh pada tahap teruk
- Asingkan mereka buat masa yang lebih lama. Bagi proses pada tahap ini, anda mungkin perlu mengambil masa yang lama sebelum membantu memperkenalkan mereka semula.
- Jika pada tahap ringan, anda mungkin boleh membuka pintu sedikit demi sedikit setiap hari. Namun awas, pada tahap yang teruk ini anda perlu lebih berjaga-jaga. Gunakan tali kolar atau letak kucing anda di dalam sangkar sebelum membawa mereka lebih dekat antara satu sama lain.
- Pada sesi ini, lakukan perkara yang menyenangkan seperti makan atau bermain bersama kucing anda. Lakukan aktiviti ini dalam jarak yang jauh dan waktu yang singkat dahulu.
- Apabila mereka sudah mampu relaks dalam keadaan jarak beberapa kaki untuk makan atau bermain, anda boleh meninggalkan mereka buat seketika. Ingat, pada peringkat awal, tinggalkan mereka hanya untuk masa yang pendek sebelum menambah masa yang lebih lama secara berperingkat.
Kesimpulan
Jika semuanya sudah tidak berhasil, ini masanya anda mendapatkan bantuan profesional atau pihak veterinar bagi mendapatkan rawatan seterusnya. Kucing anda mungkin akan diberikan ubatan atau menjalani terapi sekiranya diperlukan.
Terima kasih kepada anda, pemilik kucing yang tak pernah berputus asa dengan si comel walaupun mereka menjadi agresif atau memerlukan lebih perhatian untuk dijaga. Oyen ucapkan semoga berjaya!
Bagi mendapatkan lebih penjimatan serta memastikan si comel ini mendapatkan bukan sahaja perlindungan daripada pergaduhan tetapi juga perlindungan kesihatan secukupnya, apa kata dapatkan insurans bagi kucing anda?
Dengan mendapatkan Oyen Pet Insurance, ia akan melindungi segala kos rawatan, surgeri dan segala cedera kemalangan sehingga RM8,000.
Anda sudah tidak perlu lagi bimbang memikirkan kos rawatan yang perlu dihabiskan bagi si comel ini. Semak kelayakan di sini.