Thara
We usually reply within 1 working day (Mon-Fri, 9am-5pm) 😊
Customer Care Team
Hi there
How can i help you today?
Start Whatsapp Chat
Locate your nearest vet with the new Oyen Vet Finder!
Find Vet Now

Cara Jaga Anak Kucing Tanpa Ibu (Suhu Sesuai, Kuantiti Susu, Suasana, dll)

Expert for this article
This is some text inside of a div block.
Table of content

Adakah anda pernah cuba untuk menjaga anak kucing tetapi akhirnya mereka mati? Mungkin anda tidak tahu cara jaga anak kucing tanpa ibu.

Menjaga anak kucing tanpa ibu tidak semudah yang disangka. Seperti bayi, mereka memerlukan perhatian dan penjagaan rapi untuk hidup terutamanya semasa berusia 1-8 minggu. Jika anda tiada masa untuk membaca, anda boleh tonton video ini.

Kenal pasti umur anak kucing

Sebelum anda merancang penjagaan anak kucing, kenal pasti dahulu usianya. Ini kerana setiap peringkat usia memerlukan penjagaan dan keperluan berbeza.

Anda boleh rujuk tips jaga anak kucing tanpa ibu di bawah:

  • 1 Minggu

Ciri-ciri: Anak kucing masih belum membuka matanya dan telinganya sedikit terkatup. Gigi juga belum kelihatan.

Kebolehan: Anak kucing lebih banyak tidur. Ia sudah mampu mengangkat kepalanya, walaupun agak terbatas, dan mampu menggerak-gerakkan kaki-kakinya.

Susu: 2-3 jam sekali.

Berat ideal: 150-250 gram

  • 2 Minggu

Ciri-ciri: Anak kucing sudah boleh membuka mata dan berwarna biru cair. Telinganya akan sedikit terbuka dan bulat. Giginya masih belum kelihatan.

Kebolehan: Anak kucing masih banyak tidur, namun sudah mula peka dan ingin tahu akan keadaan sekelilingnya. Ia juga akan mula melangkah.

Susu: 3-4 jam sekali.

Berat ideal: 250-350 gram

  • 3 Minggu

Ciri-ciri: Anak kucing mempunyai mata biru dan telinganya sedikit tajam di hujung.

Kebolehan: Anak kucing sudah mula berjalan dan melihat-lihat sekitarnya. Ia juga sudah mula berasa ingin tahu dan menghidu litter box.

Susu: 4-5 jam sekali 

Berat ideal: 350-450 gram

  • 4 Minggu

Ciri-ciri: Giginya sudah mula tumbuh.

Kebolehan: Anak kucing sudah mula melihat dan mendengar dengan jelas. Kukunya sudah boleh ditarik balik. Ia juga boleh mula menggunakan litter box. Anda juga boleh memperkenalkannya kepada permainan.

Susu: 5 jam sekali termasuk waktu malam.

Berat ideal: 450-550 gram

  • 5 Minggu

Ciri-ciri: Gigi anak kucing akan tumbuh semakin banyak. Matanya masih biru dan telinganya tajam di hujung. Kuku boleh ditarik balik.

Kebolehan: Boleh bermain dan berlari dengan yakin. Ia juga mula bersosial dengan manusia dan haiwan lain dan mula pandai menjilat badannya. Ia juga semakin mahir menggunakan litter box. Ia juga sudah boleh mengawal haba badannya.

Pemakanan: Perkenalkan wet food sebagai makanan anak kucing tanpa ibu. 

Berat ideal: 550-650 gram

  • 6 Minggu

Ciri-ciri: Penglihatan dan pendengarannya sudah berfungsi sepenuhnya. Mata masih lagi berwarna biru dan gigi sudah tumbuh sepenuhnya.

Kebolehan: Banyak bermain dengan kucing lain (jika ada), pandai melompat, dan mempunyai koordinasi yang baik.

Pemakanan: Wet food anak kucing dan air yang cukup. 

Berat ideal: 650-750 gram

Penjagaan Lain: Vaksin FVRCP untuk melindunginya daripada virus.

  • 7 Minggu

Ciri-ciri: Mata sudah mula berubah warna kepada warna mata kucing dewasa. Testis anak kucing jantan juga mula kelihatan.

Kebolehan: Mempunyai tenaga yang banyak, lebih banyak bermain berbanding tidur. Ia juga sudah mula pandai memanjat, melompat, dan berlari dengan tangkas.

Pemakanan: Wet food dan air seperti biasa. Tambahkan kibbles sebagai makanan tambahan.

Berat ideal: 750-850 gram

  • 8 Minggu

Ciri-ciri: Warna mata berubah sepenuhnya kepada mata dewasa sama ada kuning, hijau, perang, atau biru.

Kebolehan: Bersemangat dan lebih tangkas. 

Pemakanan: Boleh diberi makan wet food dan kibbles sehingga 4 kali sehari. Jika ia mahu, anda boleh memberikan kibbles sebagai sumber utama.

Berat ideal: 850-950 gram

Penjagaan Lain: Suntikan booster FVRCP, diberikan ubat cacing, dimandul atau dikasi, dan dimasukkan mikrocip (jika mahu). Jika anda hanya ibu angkat, anda boleh berikan anak kucing untuk dijaga oleh keluarga hakiki (adopted).

Penyediaan susu yang sesuai

Susu perlu diberi mengikut kekerapan menurut usia. Ikuti panduan di bawah untuk membantu anda memberikan susu terbaik untuk anak kucing:

1. Jenis

Anak kucing hanya boleh diberikan susu kucing atau formula khas sahaja. Susu ini boleh didapatkan di kedai-kedai haiwan peliharaan.

Suhu susu yang ideal adalah tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas, suam-suam sahaja.

2. Alat

Anda memerlukan botol susu anak kucing dengan puting yang kecil untuk memberi susu kepada anak kucing. Jika anda khuatir lubang terlalu besar, dapatkan puting yang tiada lubang dan cucuk sedikit demi sedikit mengikut keselesaan anak kucing.

3. Sukatan susu untuk anak kucing

Berikan ia susu secukupnya. Tiada sukatan yang spesifik tetapi anda harus peka dan faham tanda-tanda ia sudah kenyang.

4. Cara menyusukan anak kucing tanpa ibu

Posisi yang terbaik adalah dengan meletakkan anak kucing di atas permukaan rata. Alaskan dengan tuala supaya tidak terlalu sejuk.

Pastikan anak kucing berdiri atas empat kakinya. Tekan lembut tengkuknya supaya tidak bergerak. Kemudian, suakan botol susu.

Suasana yang kondusif

1. Haba

Anak kucing tidak pandai mengawal suhu badannya lagi. Oleh itu, anda wajib menyediakan tempat yang hangat. Anda boleh menggunakan alas yang mempunyai pemanas atau meletakkan pemanas segera di bawah alas anak kucing.

Oleh sebab anak kucing sering dilihat tidur bersama ibunya, anda boleh menggunakan anak patung yang hangat. Pastikan ada juga sedikit ruang yang tidak hangat jika anak kucing memerlukan perubahan suhu.

Anda boleh berhenti menyediakan pemanas sebaik anak kucing mencecah usia 5 minggu.

2. Selimut

Anda digalakkan juga menyediakan selimut tebal untuk memastikan anak kucing selesa dan hangat. Pilih selimut jenis fleece kerana lembut dan tidak kasar.

3. Rangsangan buang air

Anak kucing terutamanya yang berusia 4 minggu ke bawah tidak pandai membuang najisnya sendiri. Anda perlu memberikan rangsangan dengan mengurut-urut anunya sehingga ia terkencing atau terberak.

Pastikan anda mengurut menggunakan tisu agar tangan tidak kotor. Anda juga boleh menggunakan sarung tangan. Lakukan setiap kali sebelum dan selepas menyusukan anak kucing.

Penjagaan kebersihan dan kesihatan

Anda harus sentiasa peka dengan keadaan anak kucing yang anda jumpai. Untuk memastikan anak kucing mampu bertahan sehingga usia matang, anda perlu memeriksa beberapa perkara seperti di bawah.

1. Kutu

Jika anak kucing yang dijumpai berasal dari kawasan yang tidak bersih, pastikan anda memeriksa dan merawat kutu jika ada. Kutu yang banyak boleh menyebabkan anak kucing sakit atau mati kerana kutu mampu memakan daging anak kucing sedikit demi sedikit.

Anak kucing tidak boleh dimandikan, namun, jika terpaksa untuk membuang kutu, anda hendaklah memandikannya dengan air hangat dan air tidak boleh menyentuh mukanya. Gunakan ubat kutu dengan berhati-hati agar tidak termasuk ke dalam matanya..

2. Cacing

Anak kucing seawal usia 2 minggu sudah boleh diberikan ubat cacing. Hal ini penting agar tiada parasit yang membahayakan hidup dalam badannya. Anda juga mahu memastikan anak kucing sentiasa sihat.

3. Kerap membersihkan tempat tidur

Oleh sebab anak kucing yang tiada ibu lebih terdedah kepada penyakit, anda harus sentiasa membersihkan dan menukar alas tempat tidurnya, sekurang-kurangnya sekali sehari. Anda tidak mahu apa-apa virus atau kutu menjangkiti anak kucing.

Kesimpulan

Kesimpulannya, 8 minggu terawal hidup kucing sangat kritikal. Diharap dengan adanya cara jaga anak kucing tanpa ibu di atas, anda akan lebih peka akan keperluan anak kucing.

Jika anak kucing sudah cukup umur, anda boleh mendaftarkannya untuk mendapat Oyen Pet Insurance yang melindungi segala kos rawatan dan surgeri sehingga RM8,000. Semak kelayakan di sini