Bagi pemilik kucing, salah satu faktor utama yang perlu dititikberatkan adalah daripada menjaga kebersihan bulu haiwan kesayangan. Tanpa penjagaan kebersihan yang betul, kucing anda akan lebih mudah terdedah terutamanya kepada penyakit kulit.
Jika ini merupakan kali pertama anda membela kucing dan anda tidak pasti bagaimana untuk bermula, jangan bimbang. Dalam artikel ini, Oyen akan kongsikan bagaimana cara memandikan anak kucing dengan mudah dan selamat.
Bolehkah memandikan anak kucing?
Anak kucing sebenarnya secara semulajadinya,boleh membersihkan bulu mereka sendiri, namun terdapat beberapa keadaan yang memerlukan kucing ini untuk dimandikan seperti berikut.
Terlalu kotor dan berbau
Jangan terkejut jika si comel ini aktif dan mungkin bermain sehingga boleh mengotorkan badan mereka. Tidak kira lumpur tanah atau mungkin air longkang, si comel anda mungkin terjatuh dan pastinya tidak selesa untuk membiarkan mereka dalam keadaan kotor ini begitu sahaja.
Sakit dan tidak mampu membersihkan badan sendiri
Jika kucing anda berada dalam keadaan sakit dan tidak bermaya, mereka mungkin tidak mampu untuk membersihkan badan mereka sendiri. Sekiranya dibiarkan bagi waktu yang lama, bulu mereka akan menjadi tidak terurus dan badan mereka akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
Mempunyai penyakit kulit dan perlu dimandikan dengan syampu berubat (medicated shampoo)
Sekiranya kucing anda mempunyai masalah kulit, veterinar mungkin akan mencadangkan kucing dimandikan dengan medicated shampoo atau syampu berubat bagi merawat penyakit kulit ini. Berikut merupakan beberapa contoh jenis penyakit kulit yang memerlukan kucing anda dimandikan bersama syampu berubat ini iaitu:
- Jangkitan bakteria pada kulit (biasanya akan dirawat bersama syampu antibakteria)
- Jangkitan kulat pada kulit (biasanya akan dirawat bersama syamou antifungal)
- Alahan atau iritasi pada kulit
Mempunyai masalah kutu pada bulu
Bukan sahaja penyakit kulit, bagi kucing yang mengalami masalah kutu pada bulu, mereka juga perlu dimandikan dengan syampu kutu khas yang mengandungi bahan bagi membunuh kutu.
Bagi rawatan kutu, kucing anda mungkin perlu dimandikan beberapa kali mengikut tempoh masa yang disyorkan oleh veterinar bagi memastikan rawatan kutu yang dijalankan berkesan.
Berapa kali anak kucing perlu mandi?
Sebenarnya, kekerapan memandikan anak kucing ini bergantung kepada keadaan kucing itu sendiri. Selain memandikan anak kucing ini sekiranya mereka terlalu kotor dan mengalami masalah penyakit kulit, kekerapan mandi juga bergantung kepada baka kucing itu sendiri.
Bagi baka kucing yang mempunyai bulu yang panjang seperti kuding parsi dan Maine Coon, mereka perlu dimandikan beberapa bulan sekali untuk mengelakkan bulu menjadi kusut. Bagi kucing bulu pendek tetapi tebal, juga perlu dimandikan secara kerap.
Malah, bagi kucing dengan baka yang tidak berbulu seperti Sphynx, mereka memerlukan mandian yang lebih kerap kerana permukaan badan mereka boleh menjadi berminyak. Bagi memastikan kekerapan mandi yang bersesuaian dengan kucing anda sendiri, dapatkan nasihat veterinar anda terlebih dahulu.
Cara memandikan anak kucing
Bagi memastikan proses ini berjalan lancar, Oyen kongsikan beberapa cara memandikan anak kucing yang anda boleh cuba. Jom kita bermula!
1. Biasakan anak kucing anda dengan persekitaran untuk mandi
Jika ini kali pertama anak kucing dimandikan, jangan terus merendam mereka di dalam bekas air. Anak kucing yang masih belum biasa dengan keadaan dan suhu air, mungkin akan trauma dan terlampau terkejut. Bagi membiasakan anak kucing, lakukan beberapa langkah berikut:
- Guna kain atau tuala kecil yang lembap dan gosok anak kucing anda secara perlahan. Anda boleh memujuk mereka untuk tenang dengan memberikan mereka sedikit makanan atau treat
- Jika anak kucing anda sudah semakin selesa, cuba isi sedikit air di dalam bekas air dan letakkan anak kucing perlahan-lahan. Gosok dan tenangkan mereka untuk membiasakan mereka di dalam bekas yang berisi air.
- Sekiranya anak kucing sudah selesa, cuba alirkan air secara perlahan-lahan sambil membersihkan bulu mereka. Anda juga boleh menggunakan kain lembap bersama-sama untuk membersihkan bulu mereka
Yeay! Anak kucing anda sudah bersedia untuk dimandikan tanpa masalah sekiranya mereka sudah biasa dengan semua persekitaran ini. Mereka juga boleh dibersihkan dengan penjagaan yang lebih rapi dalam langkah yang Oyen akan kongsikan seterusnya.
2. Sediakan semua kelengkapan mandi sebelum bermula
Sebelum memulakan proses memandikan anak kucing ini, pastikan anda telah menyediakan kelengkapan mandi yang lengkap. Tidaklah anda kelam kabut mencari tuala bersih dan kering apabila kucing dan anda sendiri sudah kesejukan dan basah kuyup nanti.
Sediakan beberapa kelengkapan mandi bagi si comel ini seperti berikut:
- Tuala yang kering dan bersih untuk mengelap selepas dimandikan nanti
- Syampu kucing (bergantung kepada jenis syampu yang sesuai bagi kucing anda)
- Ubat gigi dan berus gigi kucing
- Kain lembut untuk mengelap muka kucing
- Kapas (untuk membersihkan telinga kucing)
- Tab mandi atau bekas kecil untuk memandikan kucing
Jika anda mempunyai rakan atau pasangan yang boleh membantu bersama proses memandikan anak kucing ini, ia akan menjadi lebih mudah. Minta bantuan rakan ini jika ada untuk memegang kucing sementara anda memandikan kucing anda nanti.
3. Gunakan air yang suam sewaktu memandikan anak kucing
Sewaktu memandikan anak kucing ataupun kucing dewasa sekalipun, jangan sesekali menggunakan air yang terlampau panas atau terlalu sejuk. Anda boleh mencurahkan air ke atas tangan terlebih dahulu bagi menyesuaikan suhu yang sesuai bagi kucing ini.
Sekiranya anda tidak mempunyai pemanas air atau water heater, jangan bimbang, gunakan sahaja air panas yang direbus bersama air paip untuk mendapatkan suhu yang sesuai. Apabila semua suhu air sudah sesuai, basahkan bulu kucing secara perlahan-lahan.
Bagi langkah ini, anda mungkin perlu menjirus air beberapa kali bagi memastikan permukaan bulu kucing basah sepenuhnya bagi baka kucing yang berbulu tebal. Ratakan juga air di permukaan bulu dengan tangan anda.
4. Ratakan syampu di seluruh badan dan bulu kucing
Pilih syampu yang sesuai dengan tujuan anda memandikan kucing. Jika hanya sekadar membersihkan kotoran, anda boleh memilih syampu kucing biasa yang lebih berkesan untuk membersihkan kekotoran.
Bagi syampu berubat atau medicated shampoo, ia tidak berbuih dan tidak boleh membersihkan kotoran. Oleh itu, sekiranya permukaan bulu kucing terlampau kotor, bersihkan dahulu permukaan bulu dengan air sebelum meratakan syampu berubat.
Bagi meratakan syampu berubat, ratakan terlebih dahulu di kawasan kulit yang paling teruk dijangkiti seperti di celah-celah perut, di bawah leher kucing dan sebagainya. Kemudian, biarkan ia seketika mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Pada waktu ini, pastikan kucing anda tidak menjilat badannya.
5. Jangan lupa bilas bulu kucing secukupnya
Setelah selesai meratakan syampu, jangan lupa bilas bulu kucing secukupnya dengan air yang bersih. Pastikan tiada sisa-sisa buih syampu yang melekat pada bulu kucing. Walaupun nampak remeh, sisa buih syampu yang tidak dibersihkan dengan betul, boleh dijilat oleh kucing sewaktu mereka membersihkan bulu mereka sendiri nanti.
6. Bersihkan permukaan badan kucing yang lain
Bagi menyempurnakan sesi memandikan kucing ini, anda boleh mengelap muka kucing dengan kain lembut yang basah. Bersihkan juga permukaan telinga kucing dengan kapas yang lembut jika perlu.
7. Keringkan bulu kucing dengan tuala yang bersih dan kering
Setelah selesai memandikan anak kucing, lap badan mereka dengan tuala yang kering. Bagi kucing berbulu tebal, anda mungkin memerlukan beberapa helai tuala untuk memastikan bulu-bulu benar kering.
Jika anda ingin menggunakan pengering rambut atau hair dryer, gunakan suhu yang paling rendah. Pastikan anda berhati-hati menggunakan pengering rambut kerana ia bukan sahaja boleh menakutkan kucing, ia juga boleh menyebabkan badan kucing melecur pada suhu yang terlampau panas!
Ingat, pastikan bulu kucing benar-benar kering sebelum melepaskan mereka untuk berehat. Dalam keadaan bulu yang lembap, jangan terkejut jika anak kucing anda akan bergolek semula di atas permukaan tanah berlumpur untuk mengeringkan badan mereka di luar rumah.
8. Tenangkan kucing selepas memandikannya
Proses memandikan kucing boleh menjadi sesuatu yang menakutkan dan baru bagi si comel, jangan lupa untuk menenangkannya dengan memberi makanan atau treat. Anda juga boleh membelai kucing anda bagi memastikan ia selesa.
Jika perlu, bagi ruang untuk mereka tidur dan berehat seketika. Jangan lupa beri kata-kata pujian pada si comel ini yang telah berani mandi dan sudah wangi!
Walaupun nampak remeh, memandikan kucing boleh membantu kucing anda menguruskan kebersihan diri mereka. Malah, beberapa penyakit kulit juga boleh dirawat sebelum menjadi lebih teruk dan serius.
Dengan membuat lawatan secara rutin ke veterinar, sebarang penyakit kulit ini dapat dirawat dari awal sebelum ia menjejaskan kesihatan kucing anda. Jika anda bercadang untuk mendapatkan pelan kesihatan atau insurans bagi si comel ini sejak dari awal, jom semak kelayakan anda terlebih dahulu di sini.