Kucing anda nampak tak selesa, kerap mengiau, dan menunjukkan perilaku lain dari biasa? Si kucing mungkin sedang stress. Seperti manusia, haiwan juga terdedah kepada stress, terutamanya apabila berdepan dengan situasi-situasi yang tidak dijangka.
Seperti anda,kami juga maklum akan kerisauan yang anda alami apabila berhadapan masalah ini. Oleh itu, teruskan membaca untuk mengetahui punca-punca kucing stress dan bagaimana mengatasinya.
Kenapa Kucing Stress?
Stress pada kucing boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Kenal pasti antara faktor yang menyebabkan hal ini berlaku ke atas si kucing kesayangan anda.
- Perubahan rutin
Ada kemungkinan kucing anda berhadapan dengan perubahan rutin yang ketara. Kita sedia maklum kucing selesa hidup berdasarkan rutin dan akan sentiasa mengikutinya. Jika berbeza, ia boleh mengganggu kesihatan mentalnya.
Contohnya, si kucing sudah biasa makan malam pada jam 6 petang. Jika anda masih belum memberinya makan pada jam 7 malam, ini mungkin boleh menyebabkan si kucing stress. Perhatikan tanda-tanda stress dan cepat-cepat atasinya.
- Kucing stress pindah rumah
Anda baru berpindah rumah? Suasana berpindah rumah dan tempat baharu juga mampu menjadikan si kucing stress. Ini kerana ia tidak menghidu bau yang dikenalinya dan suasana berbeza.
Tambahan pula, kucing stress di tempat baru. Mungkin si kucing sudah pun selesa berada di satu kawasan. Apabila anda berpindah rumah, kawasan tersebut sudah tiada, maka ia akan berasa stress.
- Kucing stress pindah pemilik
Hal ini juga mungkin berlaku, terutamanya apabila anda baru sahaja membela kucing daripada keluarga atau orang lain. Jika anda perasan kucing anda stress, ia mungkin tidak biasa lagi dengan anda. Ia juga mungkin menunjukkan ketidak selesaannya kepada anda.
Perkara ini selalu terjadi jika kucing berumur lebih dari 3 bulan. Anak kucing bawah 3 bulan masih belum dapat mengenal tuannya, maka ia tidak akan menghadapi masalah ini. Namun, kucing yang lebih besar sudah mula pandai mengenal seseorang dan sesuatu. Oleh itu, apabila ia berpindah milik, ia akan stress.
- Lawatan ke klinik haiwan
Klinik haiwan boleh dikategorikan sebagai tempat asing bagi kucing. Hal ini kerana klinik haiwan sentiasa disanitasi dan baunya merupakan sesuatu yang asing bagi si kucing.
Oleh itu, anda digalakkan membawa si kucing dalam kurungan yang ada permainan atau item yang biasa digunakannya agar ia tidak berasa terasing dan lebih selesa.
- Ada kucing atau haiwan baharu
Kewujudan kucing atau haiwan baharu juga boleh menyebabkan si kucing stress. Ini kerana ia dapat mengesan kehadiran ‘tetamu’ yang tidak diundang. Terdapat beberapa cara untuk memperkenal kucing anda dengan kucing baharu agar mereka dapat berbaik.
- Asingkan tempat makan dan tempat tidur. Gunakan bilik yang berasingan untuk kedua-dua kucing.
- Rapatkan jarak antara keduanya. Anda boleh memisahkan kedua-dua kucing hanya dengan sedaun pintu sahaja. Dengan cara ini, mereka berpeluang berkenalan melalui bau dahulu.
- Jirankan tempat makan. Rapatkan tempat makan mereka agar mereka mula berasa selamat. Jika mereka boleh makan tanpa masalah, teruskan sehingga beberapa hari.
- Buka pemisah tetapi masih beri makan dalam bekas berasingan.
- Selepas beberapa hari, cantumkan bekas makanan. Jika mereka tiada masalah makan bersama, ini bererti mereka sudah ‘mesra’. Jika tidak, kekal asingkan tempat makan.
- Keadaan yang bising
Kucing sejenis haiwan yang tenang dan suka buat hal sendiri. Ia sangat tidak sukakan keadaan yang bising dan riuh. Jika si kucing berada dalam suasana hingar, bawanya jauh dari tempat tersebut.
- Pemandangan luar rumah
Pemandangan luar rumah merujuk kepada si kucing yang mempunyai akses untuk melihat ke luar jendela dan mengamati pemandangannya. Jika ia ternampak kucing lain di luar, ia juga boleh menyebabkan stress.
Hal ini kerana ia berasa terganggu dengan suasana asing yang tidak biasa dilihatnya di rumah. Anda boleh menutup langsir atau membawanya ke tempat lain.
Ciri-ciri Kucing Stress
Anda sudah tahu punca kucing stress. Sekarang, anda harus tahu apakah ciri-ciri yang ditunjukkan oleh si kucing apabila ia stress. Terdapat dua jenis perubahan iaitu perubahan tingkah laku dan fizikal.
- Perubahan tingkah laku
Berikut merupakan senarai perubahan tingkah laku yang akan ditunjukkan oleh si kucing apabila ia stress.
- Mata terbeliak
Jika anda perasan mata si kucing membuntang dan tidak berkelip, maka ia sedang stress.
- Mengiau berterusan
Jika kucing anda mengiau secara berterusan dengan kuat. Bunyinya seakan-akan kucing mahu mengawan. Ini juga merupakan satu ciri-ciri kucing stress pindah rumah.
- Mendesis
Jika anda mendapati kucing mendesis terhadap anda, berhati-hatilah, anda mungkin punca ia stress.
- Statik, tidak bergerak
Kucing yang statik dan tidak bergerak dalam masa yang panjang tidak boleh dibiarkan sahaja. Anda harus mengusapnya perlahan-lahan sehingga ia mengelipkan mata dan tenang semula.
- Kepala tunduk
Perhatikan kedudukan kepalanya yang menunduk. Jika ia tidak pernah menunjukkan perlakuan tersebut, fahamilah bahawa ia sedang stress.
- Kucing stress tidak mahu makan atau makan berlebihan
Ciri-ciri lain yang mudah untuk dikenal pasti ialah ia tidak makan seperti selalu atau makan terlalu banyak. Ia sedang memberikan isyarat bahawa ia sedang stress.
- Banyak tidur dan tidak aktif
Kucing memang terkenal dengan sifatnya yang suka tidur. Namun, jika ia tidur melebihi tempoh yang biasa, ketahuilah itu petanda ia sedang stress.
- Agresif
Kucing anda agresif? Ia mungkin sedang stress atau protes terhadap anda. Hal ini mungkin kerana anda baru lepas memegang kucing lain atau ia baru sahaja berpindah milik.
- Kucing menyendiri
Jika kucing anda biasa bersosial dan tidur bersama kucing lain, tetapi tidak pada suatu masa, ia mungkin sedang stress. Keadaan menyendiri boleh disebabkan oleh sikapnya yang ingin mencari ketenangan atau ia sedang protes terhadap anda.
- Membuang air merata
Membuang air merata tidak semestinya ciri-ciri kucing ingin mengawan, ia juga boleh menjadi satu ciri ia stress.
- Terlalu banyak menjilat dirinya
Kucing memang gemar menjilat dirinya. Malah, ia menghabiskan lebih kurang 12 jam sehari menjilat dirinya. Namun, jika ia kerap menjilat tanpa henti, anda harus segera mengenal pasti punca is stress.
- Perubahan fizikal
Selain perubahan tingkah laku, berikut merupakan perubahan fizikal si kucing apabila ia sedang stress. Berikut disenaraikan kesan kucing stress.
- Perubahan berat badan
Berat si kucing boleh menaik atau menurun dengan mendadak setiap kali ia stress. Hal ini mungkin disebabkan oleh perubahan selera makannya semasa stress.
- Kucing stress bulu gugur
Perubahan ini lazim berlaku dalam kalangan kucing-kucing rumah. Ia akan mengalami keguguran rambut atau memuntahkan bebola bulu.
- Mata dan hidung berair
Mata dan hidung si kucing didapat berair walaupun ia tidak demam atau selsema.
- Cirit-birit atau sembelit
Selain itu, perhatikan juga najisnya. Adakah najisnya cair dan banyak kerana cirit-birit atau tiada langsung kerana sembelit? Jika hal ini berlaku, anda harus cepat-cepat kenal pasti puncanya. Jika bukan kerana dietnya, kemungkinan besar berpunca dari stress.
Cara-cara Mengatasi Kucing Stress
Kesemua punca dan perubahan yang disenaraikan di atas boleh diatasi jika anda mengambil langkah-langkah yang disenaraikan di bawah. Jika satu cara tidak berjaya, cuba cara lain sehingga si kucing tenang semula.
Tidak seperti manusia, kucing tidak mampu berkata-kata, oleh itu, cubalah sehingga anda yakin si kucing tenang dengan cara yang tertentu.
- Sediakan makanan dan minuman yang cukup
Si kucing mungkin lapar atau haus, oleh itu, sediakan makanan dan minuman secukupnya agar ia merasa cukup dan tidak risau.
- Sediakan bekas pasir lebih
Mengorek pasir mungkin boleh menenangkan si kucing, maka, tambahkan pasir dalam bekas sedia ada untuk membantu mengurangkan stressnya.
- Sediakan tempat menggaru
Tempat menggaru sudah banyak dijual. Jika anda tidak mahu si kucing menggaru sofa anda dan merosakknya, sediakan satu tempat menggaru khas. Perbuatan ini akan membantunya melegakan stress.
- Gunakan penenang
Jika perlu, bawa si kucing bertemu doktor haiwan untuk dirawat. Doktor mungkin akan memberikannya ubat penenang mengikut dos yang sesuai. Jangan berikan sebarang ubatan tanpa nasihat doktor.
- Bermain dengannya
Anda juga boleh cuba bermain dengan si kucing, contohnya, bermain bola atau anak patung. Hal ini mungkin dapat melupakan stressnya buat seketika.
- Tidak meninggikan suara
Kucing stress dengan bunyi bising, oleh itu, elak meninggikan suara terhadapnya. Ini akan hanya menambah bebanan kepada si kucing.
- Memainkan muzik tenang
Anda juga boleh cuba memainkan muzik instrumental yang tenang.
Apa Yang Membuat Kucing Tenang
Terdapat beberapa perkara yang boleh membuatkan kucing tenang. Pertama, muzik yang tenang. Anda boleh memainkan muzik instrumental melalui YouTube sambil mengusapnya lembut.
Kedua, anda boleh memberus bulu si kucing dengan berus istimewa. Sensasi ini seperti manggaru dan kucing menyukainya, oleh itu, kucing boleh kembali tenang.
Kucing stress berapa lama?
Hal ini bergantung kepada tahap kemampuannya berhadapan dengan situasi-situasi baharu dan tidak dijangka. Jika anda pantas membantunya mengatasi stress yang dialami, ia mungkin mengambil masa kurang sehari sahaja.
Kesimpulan
Kesimpulannya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kucing stress, perubahan yang berlaku semasa stress, dan pelbagai cara untuk menenangkannya semula. Anda sebagai pemilik haruslah sentiasa prihatin dengan perubahan yang dialami si kucing.
Tambahan pula, anda harus sentiasa menganggap si kucing peneman setia dan tidak mahu perkara buruk terjadi kepadanya. Kucing yang stress melampau boleh membawa kepada kematiannya. Jika mampu, anda harus elak kucing stress. Sentiasalah hiburkan si kucing anda dan jaga perasaannya sebagaimana anda ingin perasaan anda dijaga.