Bagi pemilik kucing, pastinya tidak asing lagi dengan cakaran kuku kucing. Apa tidaknya, sofa kesayangan yang baru dibeli mungkin telah menjadi mangsa cakaran kuku kucing ini. Makin dilarang, makin galak pula si comel ini mengeluarkan kuku mereka.
Sebenarnya, mencakar dengan kuku merupakan tabiat semula jadi si kucing ini. Namun, anda boleh membantu memastikan kuku kucing anda bukan sahaja berada dalam keadaan sihat dan juga selamat di rumah.
Dalam artikel ini, Oyen akan kongsikan kepada anda tips penjagaan dan cara potong kuku kucing yang betul.
Fungsi kuku kucing
Walaupun nampak remeh, kuku kucing sebenarnya memainkan peranan penting alam habitat semula jadi mereka. Kuku mereka yang tajam akan membantu mereka menumpaskan mangsa dan memburu.
Namun, bagi kucing sekarang yang kebanyakannya lebih banyak meluangkan masa di dalam rumah, mereka akan mencakar apa jua barangan di dalam rumah bagi menunjukkan tabiat semulajadi mereka.
Anda boleh menggunakan scratching post atau tiang pencakar sebagai salah satu cara mengurangkan cakaran, namun penjagaan rutin kuku kucing ini juga boleh membantu lebih banyak barangan di rumah yang menjadi mangsa cakaran si comel ini.
Keadaan di mana anda wajib memotong kuku kucing anda
Sebelum kita pergi lebih lanjut mengenai rutin memotong kuku, terdapat beberapa keadaan di mana anda wajib memotong kuku kucing.
Kucing dalam keadaan sakit
Jika anda memiliki kucing dalam keadaan sakit, mereka memerlukan bantuan anda untuk memotong kuku mereka. Biasanya, kuku kucing akan terlalu panjang dan boleh menyebabkan luka kepada tapak kaki
Kucing terlalu tua
Kucing yang terlalu tua akan menjadi semakin tidak aktif seperti biasa. Oleh itu, kuku mereka boleh tumbuh terlalu panjang dan boleh melukakan kaki. Pada tahap teruk jika ia dibiarkan, ia boleh mengakibatkan jangkitan.
Apa yang akan jadi jika anda biarkan kuku kucing terlalu panjang
Beberapa keadaan di bawah berlaku sekiranya anda tidak melakukan sebarang penjagaan kuku kucing dari awal lagi.
- Kuku terlalu panjang dan boleh melukakan tapak kaki kucing atau paw
- Dengan keadaan kuku yang terlalu panjang, ia boleh mengubah gaya berjalan kucing anda yang boleh menyebabkan masalah sendi bagi jangka masa panjang
- Kuku yang panjang boleh terlekat di karpet atau kolar kucing, dan pada sesetengah keadaan boleh menyebabkan kecederaan pada kucing
- Kerosakan pada perabot
- Risiko tercedera terkena kuku kucing yang tajam terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak kecil
Mengapa kuku kucing berdarah jika tersalah potong?
Anatomi kuku kucing sebenarnya terdiri daripada satu bahagian yang dikenali sebagai quick. Bahagian ini mengandungi salur darah yang boleh menyebabkan berlakunya pendarahan jika anda salah potong kuku kucing kesayangan anda ini.
Sebenarnya, bahagian salur darah ini mudah dilihat kerana kebanyakan kucing mempunyai kuku yang lutsinar dan mudah dilihat. Jika kuku terlampau kotor sehingga menyukarkan anda mengesan di mana bahagian quick ini, bersihkan dahulu kotoran pada kuku tersebut.
Anda hanya perlu memotong bahagian kuku kucing lebih kurang 2 millimeter daripada bahagian quick kucing.
Jenis pemotong kuku kucing
Terdapat beberapa pilihan yang anda boleh gunakan di pasaran bagi memotong kuku kucing:
- Pemotong kuku kucing berbentuk gunting
- Pemotong kuku manusia
- Pemotong kuku kucing jenis guillotine
Biasanya, pemotong kuku kucing jenis gunting dan guillotine dikatakan paling mudah untuk digunakan pada kucing. Namun, ia semuanya bergantung kepada keselesaan dan kerjasama daripada si kucing.
Umur berapa kucing boleh potong kuku
Sebenarnya, rutin memotong kuku daripada awal lagi boleh mengurangkan rasa ketakutan kucing dan akan membantu kucing anda membiasakan diri. Kuku kucing ini boleh dipotong sejak berumur 4 minggu.
Berapa kerap anda perlu memotong kuku kucing?
Sebenarnya, ia bergantung kepada keadaan kucing itu sendiri. Anak kucing biasanya cepat membesar dan memerlukan kuku untuk dipotong seminggu sekali. Bagi kucing tua pula, mereka kurang aktif dan mungkin perlu memotong kuku kucing dalam dua minggu sekali.
Apa yang penting, sebagai pemilik kucing, anda sendiri perlu peka dengan keadaan kuku kucing anda sendiri.
Cara potong kuku kucing
Akhirnya, setelah anda tahu semua perkara mengenai kuku kucing ini, jom kita mulakan bagaimana cara potong kuku kucing yang betul!
1. Sediakan barang untuk proses memotong kuku kucing lebih awal
Walaupun nampak remeh, anda pasti dalam keadaan tidak terkawal sekiranya tidak menyediakan barangan yang diperlukan lebih awal. Kucing anda mungkin tidak memberikan kerjasama dan anda pastinya tidak menang tangan jika berseorangan.
Jadi, sediakan barangan berikut sebelum mula memotong kuku kucing ini:
- Pemotong kuku kucing
- Treat atau makanan kucing
- Serbuk Styptic, tepung gandum atau tepung jagung
- Tuala untuk membalut kucing
- Bantuan ahli keluarga atau rakan (jika perlu)
2. Cari tempat yang tenang dan senyap untuk memotong kuku
Kucing merupakan haiwan yang sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada, oleh itu pastikan kucing anda berada dalam persekitaran yang tenang dan senyap. Anda tidak mahu kucing anda terkejut tiba-tiba dan anda pula terpotong kuku kucing sehingga tercabut. Eee ngerinya!
Oleh itu pastikan kawasan persekitaran yang dipilih jauh daripada bunyi yang bising dan juga kanak-kanak kecil.
3. Cuba pelbagai posisi yang selesa bagi kucing dan juga anda
Seterusnya, cari posisi yang sesuai bagi memotong kuku kucing anda. Posisi ini mestilah selesa bukan sahaja bagi kucing, tetapi anda untuk memotong kuku kucing dengan betul.
Terdapat pelbagai posisi yang boleh dicuba iaitu:
- Membaringkan kucing anda dalam keadaan muka ke atas
- Dudukkan kucing anda di atas riba
Tidak kira apa posisi yang dicuba, pastikan kucing anda mengurangkan pergerakan mereka. Anda boleh mengepit kaki mereka dengan lengan anda sendiri secara perlahan. Jangan lupa untuk bersabar dan memujuk si comel ini.
4. Pilih kuku untuk dipotong
Apabila kucing sudah berada dalam keadaan yang selesa dan selamat, ini masanya untuk mula memotong kuku kucing. Pilih mana-mana kuku kucing dan tekan lembut pada paw atau tapak kaki mereka.
Dengan mudahnya, kuku akan mudah terkeluar sepenuhnya. Kemudian, perhatikan bahagian quick ini dengan teliti sebelum anda mula memotong kuku kucing ini.
5. Potong kuku kucing dalam keadaan 45 darjah
Seterusnya, elakkan memotong kuku kucing dalam keadaan tegak. Dengan memotong kuku kucing ini dalam keadaan 45 darjah, ia akan membantu kucing anda berjalan dengan lebih selesa.
Sewaktu memotong kuku kucing, pastikan anda menggunakan tekanan yang cukup untuk memastikan kuku kucing dipotong dengan cantik dan tampak kemas. Jika tekanan yang diberikan terlalu lembut, kuku kucing akan hancur dan tidak kemas.
6. Tidak mengapa untuk berhenti jika perlu
Bagi kucing yang tidak biasa dengan rutin memotong kuku kucing ini, mereka boleh menjadi sangat agresif. Jika kucing anda sudah berada dalam keadaan tertekan, berhenti sebelum mereka menyerang anda dan menjadikan si comel ini lebih trauma.
Anda boleh memujuk mereka dengan memberi makanan, atau jika mereka terlalu tertekan dan marah, mereka mungkin akan menolak makanan yang diberikan.
Sekiranya berlaku kesilapan dan anda terpotong kuku kucing sehingga berdarah, gunakan serbuk styptic serta tekan sedikit pada kawasan yang berdarah untuk menghentikan pendarahan. Jika keadaan terlalu teruk, dapatkan nasihat veterinar dengan segera.
Sekiranya perlu, berhenti dahulu dan ulang kemudian proses ini di hari seterusnya.
Tips penjagaan kuku kucing
Seterusnya, Oyen kongsikan juga tips penjagaan kuku kucing yang anda boleh lakukan bagi menjaga kesihatan kaki dan kuku kucing:
- Sentiasa pantau kebersihan tapak kaki dan kuku kucing. Habuk dan kotoran boleh melekat di celah-celah kuku kucing
- Sentiasa perhatikan luka pada tapak kaki kucing. Jika kucing anda sudah berjalan seperti tempang, perhatikan sekiranya berlaku jangkitan pada tapak kaki kucing. Pada keadaan teruk, tapak kaki kucing yang bernanah dan buruk boleh menyebabkan kuku kucing tercabut.
- Bagi memudahkan proses memotong kuku kucing, pastikan bulu yang berada di celah kuku kucing turut dipotong
Walaupun nampak remeh, penjagaan kuku kucing dari awal juga sama pentingnya dengan menjaga kesihatan. Malah, dengan Oyen Pet Insurance, ia akan melindungi segala kos rawatan dan surgeri sehingga RM8,000.
Bukan sahaja kuku kucing anda sahaja yang sihat, anda sendiri tidak perlu lagi bimbang memikirkan kos rawatan yang perlu dihabiskan bagi si comel ini di masa hadapan
Jom semak kelayakan di sini.